Thursday, January 6, 2011

Sekolah dan Masyarakat adalah dua entiti yang saling memerlukan

0.0 Pengenalan

Tidak dapat dinafikan lagi sekolah dan masyarakat adalah dua entiti yang saling memerlukan serta komplimen antara satu sama lain. Setelah sekian lama hubungan murni ini berterusan seiring dengan perkembangan dan peredaran masa tanpa banyak masalah yang timbul kerana pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengekalkan hubungan ini contohnya satu ikatan yang padu antara barisan kepimpinan, guru dan komuniti masyarakat dalam suasana hubungan yang saling memahami, toleransi, sedia menerima kritikan dan teguran, sedia berkongsi idea, tenaga dan ilmu demi kebaikan bersama khasnya anak-anak / pelajar yang bakal menerajui Negara suatu ketika nanti. Jadi saya sememangnya bersetuju dengan tajuk yang diberikan dan akan saya debatkan di bawah ini. Dalam pendebatan ini juga saya akan menyentuh beberapa masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang mana pada pendapat saya adalah satu faktor penyebabnya yang berpunca daripada hasil tidak berhubungan antara pihak sekolah dan masyarakat serta memasukkan pandangan mengenai pendidikan mengikut teori-teori sosiologi bagi menguatkan fakta dan perbandingan.

1.0 Rasional

Hasil dari hubungan yang saling memerlukan diantara pihak sekolah dengan masyarakat akan melahirkan genarasi baru yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial selaras dengan falsafah pendidikan Negara.

2.0 Sejarah Pendidikan di Malaysia

Pendidikan di Malaysia boleh di bahagikan kepada tiga peringkat iaitu sebelum penjajahan (1400-1786), semasa penjajahan(1786-1956) dan selepas merdeka(1957-Sekarang). Pelbagai jenis sekolah telah diperkenalkan samada formal dan tidak formal contohnya sekolah pondok, Sekolah vernakular Tamil, Cina, Melayu dan Sekolah Inggeris. Walaupun agenda politik dari pihak pentadbir pada masa itu tidak menjuruskan kepada perpaduan dan integriti kaum tetapi usaha ini telah melahirkan ramai cerdik pandai dan seterusnya telah memberi sumbangan yang amat besar dalam membuat perubahan dalam sejarah Negara seperti perjuangan kearah kemerdekan, perpaduan kaum dan seterusnya dalam sistem pendidikan amnya. Berlakunya perubahan ini telah mengakibatkan satu hubungan yang murni antara sekolah dan masyarakat mula terjalin dan berkekalan hingga ke sekarang.

3.0 Definisi Sekolah dan Masyarakat

Sekolah dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘school’.Ianya diambil dari perkataan Yunani yang bermaksud masa lapang ataupun di dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘leisure’. Seperti mana yang kita ketahui sekolah adalah satu institusi pendidikan yang berbentuk formal kerana ia boleh membentuk pemikiran, tingkah laku dan sikap murid-murid dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang seimbang dari segi mental mahupun rohani.

Bagi masyarakat pula secara umumnya merupakan satu kumpulan manusia yang tinggal dalam sebuah wilayah ataupun kawasan dimana setiap ahli-ahlinya mempunyai sistem hubungan antara satu sama lain. Mereka mempunyai ciri-ciri persamaan tertentu dan berada dibawah sistem pentadbiran yang sama tetapi berlainan agama, budaya, politik dan jumlah bilangan ahlinya.

4.0 Masalah-masalah sosial pelajar

Seperti mana kita ketahui masalah sosial dikalangan pelajar makin bertambah dari tahun ke setahun dari segi jumlah pelajar terbabit dan juga jenis masalah itu sendiri mengikut perkembangan zaman. Kalau dulu masalah pelajar adalah setakat merokok dan ponteng sekolah sahaja tetapi sekarang jumlah masalah semakin bertambah seperti terbabit dengan dadah, minum arak, melakukan hubungan seks, mengikut budaya black metal dan sebagainya. Ini berpunca daripada kurangnya hubungan diantara pihak sekolah dan masyarakat terutamanya dalam mengawasi pelajar ataupun anak masing-masing.

4.1 Masalah merokok

Masalah merokok di kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri. Terdapat beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba, dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan serta mudah diperolehi di pasaran.

4.2 Masalah Dadah

Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Diantara jenis-jenis dadah yang dikesan dikalangan pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa 10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis yang disyaki ponteng dan menghidu gam.

4.3 Masalah Ponteng Sekolah

Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu 32092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan.

4.4 Masalah melakukan hubungan Seks

Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.

4.5 Masalah budaya Black Metal

Yang lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil daripada siasatan, polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan mengikuti upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam.

Semua contoh masalah diatas adalah berpunca daripada penglibatan banyak pihak yang perlu dipertanggungjawabkan dan salah satunya ialah hubungan diantara pihak sekolah dan masyarakat seperti mana yang kita sedang debatkan. Saya sangat bersetuju dengan tajuk yang didebatkan iaitu sekolah dan masyarakat adalah dua entiti yang saling memerlukan antara satu sama lain dan berikut adalah langkah-langkah untuk mengekalkan hubungan antara sekolah dan masyarakat bagi mengurangkan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar samada disiplin ataupun akademik.

5.0 Langkah-langkah mengekalkan hubungan antara sekolah dan masyarakat

Berikut adalah beberapa langkah-langkah yang saya rasakan pelu diambil bagi menjamin hubungan antara sekolah dan masyarakat lebih kukuh dan saling memerlukan diantara satu sama lain:

5.1 Barisan kepimpinan

Barisan kepimpinan sekolah yang mana terdiri dari pada satu organisasi yang juga boleh dipanggil sebagai komuniti selalunya diketuai oleh guru besar ataupun pengetua bersama ahli jawatan kuasa. Melalui Persatuan Ibubapa dan Guru akan memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai perbincangan terhadap apa jua jenis permasalah yang timbul samada ketidakpuashatisan masyarakat terhadap pengurusan sekolah ataupun melibatkan pencapaian akademik serta masalah disiplin pelajar. Mereka akan berbincang dengan bertolak ansur tentang cara-cara untuk mendapatkan penyelesaian. Oleh itu berdasarkan laporan perbincangan ibubapa dapat mengenal pasti apa punca masalah dan permasalahan yang melibatkan anak-anak mereka. Disini masyarakat mula sedar bahawasanya bukan sahaja pihak sekolah sahaja yang patut di persalahkan dan mereka juga perlu mengambil bahagian dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan memberi galakan kepada anak –anak mereka serta mengawal, memantau dan memberi asuahan agama kepada anak-anak mereka dirumah. Tunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak kerana ibubapa orang yang paling rapat dengan mereka. Oleh itu, apabila semua pihak dapat memainkan peranan maka hubungan antara kedua-dua entiti ini akan bertambah rapat dan baik kerana masing-masing saling bergandingan antara satu sama lain kearah matlamat yang sama.

5.2 Guru dan komuniti masyarakat dalam hubungan yang saling memahami

Secara jujurnya guru dan komuniti masyarakat sepatutnya selalu berada dalam situasi yang saling faham memahami antara satu sama lain. Seperti yang kita ketahui didalam sesebuah masyarakat mesti terdapat beberapa rumah guru yang didiami dalam sesebuah masyarakat. Ketika inilah guru perlu menunjukkan satu contoh teladan yang baik kepada masyarakat dengan tidak memandang rendah kepada mereka malah para guru perlu mengenali antara masyarakat serta memahami permasalahan yang di hadapi oleh mereka. Dengan itu guru sepatutnya selalu tampil kehadapan untuk memberi beberapa cadangan yang munasabah dalam menyelasaikan masalah masyarakat. Tidak kira apa jenis permasalahan contohnya kecurian, keselamatan, dan sebagainya. Masyarakat juga perlu memahami apa juga permasalahan guru terutamanya bebanan kerja yang dihadapi oleh mereka. Dengan itu mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh guru tidak mahu bekerjasama sekiranya ada mesyuarat komuniti yang tidak dapat dihadiri oleh guru. Sekiranya hubungan ini berkekalan saya merasakan tidak akan ada masalah yang tidak dapat diatasi sekiranya mereka saling memahami.

5.3 Toleransi

Toleransi amat penting dalam sesuatu perhubungan di mana setiap permasalan mestilah dibawa berbincang supaya keputusan nanti tidak menyinggung mana-mana pihak. Sekiranya ada ketidakpuashati maka mereka boleh mengemukan cadangan semula untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci. Contohnya pencapaian akademik pelajar dan disiplin pelajar kurang memuaskan. Dengan ini sifat hormat-menghormati amatlah penting bagi kedua-dua belah pihak. Hasil dari cadangan penyelesaian hendaklah diterima dengan hati yang terbuka kerana ini adalah cadangan yang dipersetujui. Selaluinya cadangan ini akan diterima oleh semua pihak sekiranya boleh mendatangkan kebaikan kepada masa depan pelajar-pelajar serta dapat membaiki kesilapan mereka. Terdapat beberapa sekolah yang mana pihak pengurusan kurang bertolak ansur dalam aspek toleransi contohnya permohonan penduduk untuk menggunakan laluan bagi mengurangkan jarak perjalanan tetapi tidak diterima secara baik oleh pihak pengurusan sekolah menyebabkan hubungan antara mereka menjadi tegang dimana penduduk sengaja membiarkan binatang ternakan mereka memasuki kawasan sekolah. Hasil dari permasalahan ini akan menyebabkan suasana kurang selesa untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

5.4 Sedia menerima kritikan dan teguran

Kedua-dua pihak mestilah mengamalkan corak gaya kepimpinan demokrasi dimana semua pihak boleh bersuara tidak kira dari mana-mana pihak. Dalam menyelesaikan sebarang masalah adalah penting dilaksanakan secara berbincang dimana semua ahli bebas untuk memberi pendapat dan pandangan. Sekiranya pendapat dan pandangan masyarakat benar maka pihak sekolah mestilah menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka begitulah sebaliknya supaya tidak timbul perasaan benci-membenci antara satu sama lain. Sekira mereka dapat bersedia menerima kritikan dan teguran secara terbuka maka hubungan meraka akan lebih erat. Hasil dari situasi ini akan mewujudkan suasana harmoni antara pihak sekolah dan masyararakat.

5.5 Sedia berkongsi idea ,tenaga dan ilmu

Untuk memastikan pencapaian akademik mahupun pengurangan masalah disiplin sekolah dan masyarakat perlulah bersedia untuk berkongsi idea, tenaga, dan ilmu untuk mendapatkan penyelasaian kerana kita juga tahu golongan masyarakat juga terdiri dari pelbagai jenis bidang profesion. Jadi bagi yang berkhimat dalam bidang profesional contohnya peguam.doktor.jurutera dan lain-lain lagi sudah semestinya idea-idea yang dikemukan sedikit sebanyak dapat membantu pihak sekolah untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran ataupun pengawalan kepada gejala sosial di kalangan pelajar supaya dapat dikurangkan. Hasil usaha ini dapat mengurang lagi permasalahan malah dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berguna kepada bangsa, agama dan Negara amnya.

6.0 Pandangan mengenai pendidikan melalui dua teori.

Sesuatu bidang boleh dikaji dengan menggunakan pelbagai kaedah dan teori. Demikian juga dengan bidang kajian sosiologi. Sosiologi pendidikan melihat masalah sosial melalui dua pendekatan iaitu pendekatan makro dan mikro. Pendekatan makro merupakan kajian tentang masyarakat secara keseluruhan, manakala pendekatan mikro berkaitan dengan kehidupan manusia yang dibentuk melalui proses interaksi yang kecil di dalam individu itu sendiri bukan dalam suatu kumpulan Masyarakat yang besar. Pendekatan makro boleh dikaji menggunakan dua teori iaitu teori fungsionalis dan teori konflik. Pandangan teori konflik ialah masyarakat berada di dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing. Teori fungsionalis pula mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam aktiviti yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Berdasarkan kepada isu kelemahan akademik dan prestasi pelajar, teori fungsionalis didapati lebih menonjol peranannya. Merton (1949) menyokong teori ini dengan membahagikan kepada dua elemen iaitu fungsi nyata dan fungsi tidak nyata. Fungsi nyata merujuk kepada aktiviti yang ditetapkan seperti pengajaran guru sementara fungsi tidak nyata ialah aktiviti-aktiviti yang tersirat seperti kurikulum tersembunyi.

6.1 Pendidikan mengikut Teori Fungsionalisme

Teori ini diasaskan oleh pandangan beberapa tokoh awal seperti Comte, Spencer, dan Durkheim. Secara umumnya teori menganalis pendidikan dangan menghubungkan sekolah dengan keperluan masyarakat. Bagi masyarakat yang berfungsi, mestilah ada cara yang dapat memastikan semua cara dapat dipenuhi. Jadi pendidikan perlu memainkan peranan yang penting. Fungsi sistem pendidikan adalah untuk merekrut dan menempatkan manusia ke dalam masyarakat. Mengikut teori ini masyarakat dilahirkan dengan kebolehan dan bakat yang berbeza antara satu sama lain. Durkheim membuat perbandingan antara masyarakat dulu dan sekarang dengan menglasifikasikan masyarakat dulu sebagai solidariti mekanikal dan masyarakat moden sebagai solidariti organik. Beliau percaya bahawa institusi pendidikan adalah langkah untuk mengenalkan dan menjaminkan hubungan sosial serta integriti.

Menurut teori ini lagi pendidikan adalah untuk kepentingan masyarakat bukan untuk individu kerana masyarakat yang menentukan baik dan buruk sesuatu perkara. Sehubungan dengan itu sukatan matapelajaran mestilah bersesuaian dan sekolah juga mesti memberi gambaran awal tentang masyarakat yang bakal mereka sertai nanti. Menurut Durkheim (1956), pendidikan merupakan penerapan pengaruh generasi dewasa kepada mereka yang memasuki era baru dalam kehidupan sosial. Mereka yang dididik adalah dikehendaki oleh generasi yang lebih awal. Pendidikan melaksanakan peranan ini melalui proses sosialisasi secara teratur generasi muda. Oleh itu secara khusus teori ini mengaggap fungsi pendidikan adalah untuk mengekalkan masyarakat dengan menyediakan rangka normatif dan kognitif masyarakat dalam individu. Setiap pelajar mempunyai peluang yang sama cuma bergantung kepada usaha masing-masing kerana sistem pendidikan adalah untuk semua. Mereka akan dinilai melalui ujian, peperiksaan dan pengredan bagi membezakan tahap akademik masing-masing. Daripada penilaian ini akan membuka peluang kepada yang Berjaya untuk melanjutkan pelajaran seterusnya dan kemungkinan besar akan menjadi golongan professional serta berjaya dan begitulah sebaliknya bagi yang gagal. Perbezaan status kekayaan(Berjaya) dan gagal ini dalam masyarakat adalah juga dilihat sebagai ketidaksamaan kepintaran.

Kelemahan akademik dan prestasi pelajar bumi menjadi isu masyarakat yang serius kerana setiap individu mempunyai fungsi yang dipersetujui untuk mencapai matlamat yang sama. Di dalam hal ini, aktiviti yang dipersetujui masyarakat ialah menjadikan individu berpendidikan supaya mesyarakat yang berpendidikan serta mampu mengikuti perkembangan semasa dapat dicapai. Bila prestasi pelajar luar bandar menurun, ia mencerminkan masyarakat luar bandar yang kurang prihatin terhadap pendidikan. Faktor utama yang menjadi punca kepada kelemahan prestasi pelajar ialah keadaan sosio-ekonomi keluarga yang merupakan sebahagian daripada institusi masyarakat. Teori fungsional membincangkan variasi kelas sosial dalam pendidikan menyebabkan perbezaan peluang hidup. Peluang pelajar kelas sosial rendah mendapat prestasi yang tinggi adalah kurang andainya dibandingkan dengan pelajar kelas atasan. Pelajar yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang tidak menggalakkan, mempunyai banyak kekangan yang perlu diatasi untuk bersaing dengan pelajar kelas atasan. Keadaan hidup yang serba kekurangan kerana wang menjadi penghalang bagi mendapatkan makanan, tempat tinggal yang selesa dan peralatan yang secukupnya memudarkan minat murid terhadap pendidikan yang agak mencabar bagi tahap perkembangan mereka. Sosio-ekonomi rendah adalah disebabkan oleh pendidikan yang rendah atau tiada pendidikan. Bila ibu bapa tiada pelajaran, maka mereka juga tidak mengambil berat mengenai pencapaian anak-anak mereka. Anak-anak juga tidak boleh mengharapkan pertolongan dari segi akademik daripada ibu bapa mereka.

Pendekatan fungsionalis menekankan kepentingan pendidikan di sekolah dan di rumah. Jika sekolah dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap pendidikan anak-anak adalah tidak wajar. Pengukuhan dan penekanan perlu disalurkan juga di rumah. Malangnya , ibu bapa yang tidak berpendidikan tidak mampu membantu anak-anak mereka yang akhirnya menjadikan prestasi pelajar bumiputera lemah pada peringkat asas, menengah dan juga IPT. Para pelajar yang hidup dalam suasana persekitaran yang tidak menggalakkan pendidikan, tidak mempunyai “role model” yang boleh menjadi dorongan kepada mereka. Secara tidak langsung , motivasi luaran yang kurang atau hampir tiada menenggelamkan motivasi intrinsik mereka. Ini menyebabkan pelajar kurang berminat terhadap pendidikan.

Walaupun, istilah keluarga iaitu salah satu institusi yang diberi keutamaan dalam teori fungsionalis gagal berfungsi, institusi pendidikan boleh mengambilalih tanggungjawab tersebut untuk menjadikan masyarakat mempunyai kemahiran-kemahiran asas. Kewujudan masyarakat bumiputera luar bandar yang mempunyai prestasi yang tinggi merupakan tanggungjawab bersama institusi keluarga dan institusi pendidikan. Institusi keluarga di masyarakat luar bandar tidak dapat memainkan peranannya sepertimana institusi keluarga di dalam masyarakat bandar. Oleh itu, institusi pendidikanlah harus memikul tanggungjawab dengan serius untuk meningkatkan prestasi pelajar . Guru-guru di kawasan luar bandar perlu lebih berdedikasi dalam mengajar pelajar-pelajar mereka. Latihan yang mencukupi dan bahan mudah diperolehi perlu digunakan seperti yang dilakukan oleh guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang amat mengambilberat tentang prestasi pelajarnya. Subbudaya belajar secara positif perlu sentiasa ditekankan terhadap murid dan institusi keluarga serta masyarakat perlu memberi kerjasama supaya subbudaya lain tidak mempengaruhi para pelajar ini. Subbudaya seperti ponteng, malas, tidak memberi tumpuan dan tidak berminat terhadap pendidikan inilah yang bersemadi dalam jiwa pelajar ini sehingga terbawa-bawa ke peringkat IPT. Subbudaya sebegini menyebabkan pelajar bumiputera di IPT tidak dapat bersaing dengan pelajar-pelajar lain. Oleh itu, langkah-langkah perlu juga diambil untuk mengatasi masalah ini di peringkat IPT. Langkah utama yang sewajarnya diberi tumpuan ialah penekanan pendidikan rendah yang kukuh.

Justeru itu, persefahaman dan kerjasama dari semua pihak diperlukan dalam memainkan peranan masing-masing agar dapat mencapai matlamat tertentu seperti yang diutarakan dalam teori fungsionalis. Mereka juga saling memerlukan antara satu sama lain dan bukan hanya bergantung kepada satu pihak sahaja.

6.2 Pendidikan Mengikut Teori Konflik

Teori konflik dalam pendidikan banyak dipengaruhi oleh analisis-analisis aliran Marx. Teori ini bersetuju dengan pandangan teori fungsionalisme dari beberapa sudut sahaja mengenai pendidikan. Sebaliknya mereka menganggap pendidikan sebagai alat untuk mencapai tujuan ekonomi masyarakat. Ianya berbentuk makro iaitu seperti melihat pengaruh masyarakat luas terhadap individu. Dari segi pandangan sosiolisasi dimana mereka menganggap sosiolisasi sebagai mengikut kelas-kelas sosial yang berbeza. Oleh itu pendidikan bagi mereka berfungsi untuk meneguhkan kedudukan kelas sosial dan kapitalis. Mereka juga berpandangan persaingan untuk memperolehi kedudukan ekonomi merupakan perkara utama menjadi konflik dalam masyarakat. Dalam persaingan itu, sistem pendidikan dikatakan menyebelahi satu pihak, iaitu satu pihak yang dominan dalam masyarakat. Oleh itu wujud persoalan tentang persaingan antara kelas sosial, ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam peluang-peluang pendidikan. Sebagai hasil daripada sistem kapitalis yang sedia maklum tidak menggalakkan perkembangan individu, teori konflik mempertikaikan tujuan pendidikan, terutamanya perubahan sistem sedia ada yang telah diusahakan berasaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan & Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Penyata Razak sejak 1956.

Walau apa jua pandangannya mengenai pendidikan tetapi hubungan diantara sekolah dan masyarakat tetap saling memerlukan dalam mengurangkan permasalahan yang timbul dikalangan pelajar pada hari ini. Tidak dapat dinafikan lagi sekolah dan masyarakat adalah saling memerlukan diantara satu sama lain dalam apa jua bentuk bagi melahirkan golongan cerdik pandai yang bakal memimpin negara kelak.

7.0 Hujah-hujah lain yang menyokong

Berikut adalah dua hujah lain yang sedikit sebanyak dapat mengukuhkan hujah saya sebelumnya dan seterusnya dapat membantu serta menyokong saya dalam membahaskan tajuk diatas:

7.1 Sekiranya ada pihak yang mengatakan sekolah hanya bergantung kepada kerjasama masyarakat dan sekiranya tanpa kerjasama masyarakat pihak sekolah tidak dapat menangani masalah akademik ataupun disiplin. Sebenarnya mereka perlu sedar bahawasanya sekolah dibina untuk memberi pelajaran kepada masyarakat sesuai dengan falsafah pendidikan negara iaitu melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab dan bekerjasama. Bukan dibina untuk menyelesaikan masalah akademik atau disiplin sebaliknya masalah ini timbul apabila sekolah diwujudkan dan oleh itu adalah menjadi tugas sekolah juga untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mereka juga perlu tahu dengan adanya sekolah maka tahap-tahap kepandaian dalam masyarakat boleh diukur kerana hanya disekolah sahaja dapat menentukan tahap sebenar kepandaian mereka dengan memasuki sistem peperiksaan. Sistem ini telah diterima pakai untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tertinggi iaitu universiti dalam dan luar negara. Sekiranya mereka berjaya diperingkat yang paling tinggi maka peluang pekerjaan di sektor awam mahupun swasta adalah milik mereka mengikut bidang kepakaran yang mereka miliki. Jelas sekali disini masyarakat juga amat memerlukan kepada sekolah kerana akhir-akhir ini ramai ibubapa menghantar anak mereka kesekolah adalah bertujuan untuk mendapatkan ilmu diperingkat yang tertinggi supaya bila tamat nanti mereka berpeluang untuk memegang jawatan yang penting dalam sektor pekerjaan samada awam mahupun swasta.

7.2 Sekiranya ada pihak mengatakan masyarakat hanya bergantung kepada sekolah semata-mata dalam melahirkan pelajar yang berjaya ataupun dapat mengatasi masalah disiplin dan juga akademik. Sebenarnya mereka juga silap kerana tanpa penyertaan masyarakat pihak sekolah juga tidak akan dapat melahirkan ramai cerdik pandai yang berjaya ataupun dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi contohnya ibubapa tidak mengambil berat tentang pelajaran anak mereka kerana mereka sibuk ataupun mereka tidak berpelajaran, sebenarnya mereka inilah yang menyebabkan banyak masalah-masalah yang berlaku. Sebaliknya mereka perlu memantau pelajaran ataupun tingkah laku anak-anak mereka dirumah supaya tidak ketinggalan dalam peperiksaan dan juga tidak terlibat dalam masalah sosial. Tunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak-anak kerana mereka adalah pendidik yang paling rapat. Disekolah guru-guru boleh mengawasi anak-anak mereka dengan memberi penekanan dari segi kaedah pembelajaran dan pengajaran ataupun dari segi mengetatkan peraturan disiplin tetapi apabila diluar sekolah adalah menjadi tugas masyarakat untuk mengawasi mereka pula. Sekirannya hanya sekolah sahaja yang berperanan maka mustahilah masalah ini akan dapat dikurangkan. Begitu juga dalam aktiviti yang disediakan oleh sekolah contohnya mesyuarat PIBG, masyarakat perlulah datang memberi galakkan dan sumbangan samada dari segi ilmu dan pandangan mahupun berkongsi kepakaran dalam menaikkan ataupun membantu tahap kecemerlangan akademik dan seterusnya juga dapat mengurangkan masalah yang melibatkan disiplin.

8.0 Refleksi

Semasa menyediakan penulisan ini saya menghadapi kesukaran dalam memahami kehendak utama tajuk yang dibincangkan serta memerlukan masa yang mencukupi untuk mencari sumber-sumber yang sesuai sedikit sebanyak menggangu kelancaran perjalanan penulisan ini. Alhamdulillah penulisan ini berjaya juga disiapkan walupun dengan beberapa kekurangan.

9.0 Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah yang diberi diatas, maka dapat saya rumuskan disini bahawa sekolah dan masyarakat adalah dua entiti yang saling memerlukan dan komplimen antara satu sama lain. Setakat ini tidak ada hujah yang dapat mengatakan bahawa hanya satu pihak sahaja yang berperanan. Sekiranya sekolah sahaja bergantung kepada masyarakat maka masyarakat pula tidak perlu kesekolah kerana tanpa sekolah mereka tetap boleh hidup dan berjaya dan begitulah sebaliknya. Pada masa sekarang untuk berjaya didunia dan diakhirat seseorang itu perlu mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi yang mana boleh diperolehi dari pusat-pusat pengajian tinggi awam ataupun swasta hatta mereka yang sememangnya dilahirkan kaya juga mendapatkan pengajian bagi menguruskan kehidupan dimasa hadapan agar lebih terjamin.

Bibliografi

Amir Hasan Dawi, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan – Edisi kedua,
Tanjong Malim: 2002, Quantum Books.

Ibrahim Shah, Perspektif Sumber Manusia ke Arah Pencapaian Wawasan 2020,
Kuala Lumpur: 1994, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omar Mohd. Hashim, Persoalan, Penyelesaian dan Harapan,
Kuala Lumpur: 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omar Mohd. Hashim, Pendidikan, Pengisian Misi Pendidikan – Edisi kedua,
Kuala Lumpur: 1999. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Salleh Lebar, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,
Thinker’s Library: 1998, Selangor.

Utusan Malaysia, 20 Sept.2000 . Seks Bebas.

Berita Harian, 1 Julai 2000 . Punca Masalah Disiplin Pelajar.

Utusan Malaysia, 17 Oktober 2000 . Jenayah Pelajar.

Berita Harian, 31 Mei 2000 . Tangani Masalah Remaja Lebih Serius.

3 comments: